Terdapat beberapa hukum tentang wanita memakai minyak wangi iaitu harus, sunat, makruh dan haram.
Harus.
Secara umumnya hukum memakai minyak wangi adalah harus bagi wanita.
Seseorang wanita itu dikatakan harus memakai wangi-wangian ketika suami
berada di rumah terutamanya ketika ingin melayan suami mereka. Selain
daripada itu, wanita tidak di haruskan memakai wangi-wangian. Nabi SAW
telah bersabda yang bermaksud,
“Sebaik-baik wanita (isteri) ialah jika kamu memandangnya sentiasa
menyenangkan hati kamu…” (Hadis Riwayat an-Nasa’i dari Abu Hurairah)
Ini bererti seorang wanita itu haruslah sentiasa kelihatan menarik
dari segi akhlak dan penampilannya agar dapat menyenangkan hati
suaminya, termasuklah memakai minyak wangi untuk menyenangkan suami.
Sunat.
Sunat bagi wanita berwangian ketika berada di rumahnya, ketika ingin
menunaikan solat dan beribadah di dalam rumahnya, dan juga ketika
menyambut tetamu wanita. Terdapat hadis yang menjelaskan wanita juga
digalakkan berwangi-wangian tetapi bukan pada tempat yang telah
dilarang. Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud,
“Wangi-wangian lelaki ialah yang jelas baunya dan tersembunyi
warnanya. Sementara wangi-wangian wanita pula ialah yang cemerlang
(jelas) warna dan tersembunyi baunya” (Hadis Riwayat al-Tarmizi)
Wanita juga disunatkan memakai wangian sebelum melakukan ihram. Aisyah r.a berkata,
“Kami (isteri-isteri Rasulullah SAW ) pergi menunaikan haji bersama
Rasulullah SAW. Ketika hendak berihram, kami memakai minyak wangi yang
terbaik di kening kami. Ketika salah seorang di antara kami berpeluh,
minyak wangi itu akan mengalir hingga ke muka dan Rasulullah SAW melihat
hal itu, tetapi tidak menegur kami (ertinya Nabi SAW tidak melarang)”
(Hadis Riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Makruh.
Hukum berwangi-wangian ketika berpuasa adalah makruh. Ini telah umum
disepakati oleh ulama dan terdapat penjelasan dalam bab puasa.
Keterangan yang dapat dipegang dan dijadikan alasan ialah fatwa Imam
Syafie dan Qaliyubi yang menyatakan “makruh memakai wangi-wangian ketika
berpuasa”. Menurut Qaliyubi pendapat itu ialah pendapat ijmak ulama.
Haram.
Haram bagi wanita memakai minyak wangi atau alat-alat solek yang berbau wangi di luar rumah berdasarkan hadis berikut,
Nabi SAW bersabda maksudnya, “Seorang wanita yang memakai bau-bauan
dan melintasi satu kaum (orang ramai) maka dia itu adalah perempuan
zina” (Hadis Riwayat Abu Dawud, Tirmidzi)
Nabi SAW bersabda “Siapa saja perempuan yang memakai minyak wangi
kemudian keluar ke masjid nescaya tidak diterima solatnya sehingga ia
mandi dahulu (membersihkan dirinya dari wangi-wangian tersebut).” (Hadis
Sahih Riwayat Ibnu Majah dari jalan Abu Hurairah)
Abu Hurairah menceritakan bahawa dia pernah bertemu dengan seorang
wanita sedang pulang daripada masjid dan ia berbau wangiannya, lalu
beliau menegur “Wahai hamba Allah, apakah kamu pulang dari masjid.
Rasulullah SAW pernah bersabda bahawa Allah SWT tidak akan menerima
solat wanita yang memakai bau-bauan ke masjid sehingga dia pulang dan
mandi……” (Hadis Abu Daud, An-Nasaie, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)
Abu Musa meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda, “Setiap mata itu
berzina (apabila memandang dengan nafsu wanita yang asing). Dan seorang
wanita yang memakai wangi-wangian kemudian melalui sesuatu majlis, maka
ia adalah demikian, demikian…(penzina)” (Hadis Riwayat Tirmidzi)
Daripada hadis-hadis di atas, maka jelaslah bahawa kaum wanita
diharamkan memakai wangi-wangian ketika keluar dari rumah dan juga
dilarang berhias berlebih-lebihan kecuali di rumah terutamanya di
hadapan suaminya.
Saya menyeru kepada semua wanita muslimah agar mentaati perintah dan
larangan Allah SWT dalam setiap detik kehidupan kita, dalam setiap
langkah kita. Jauhilah larangan Allah SWT dalam hal persolekan dan
berwangi-wangian dikhalayak ramai. Patuhilah hadis-hadis di atas dan
jadikan ia sebagai panduan hidup kita.
Sungguh amat memilukan hati, apabila melihat wanita muslimah keluar
rumah bekerja dengan gaya seperti seorang perempuan bukan Islam,
bersolek dan berbau wangi samada dengan tujuan menggoda lelaki yang
ditemui atau untuk kelihatan cantik atau tanpa apa-apa tujuan sekalipun,
ia tetap haram dan berdosa. Sedarlah, bahawa itu mengundang murka Allah
SWT, yang mengakibatkan rezeki yang kita peroleh sehari-hari tidak
diredhai Allah SWT, bukan itu sahaja bahkan ia bakal menjadi penyebab
bagi keruntuhan iman dan akhlak kita. Hilanglah segala hikmah dari
pekerjaan kita yang sepatutnya menjadi ibadah kita kepada Allah SWT.
Saya juga ingin mengingatkan wanita muslimah agar berhati-hati
memilih alat solek supaya tidak tersalah memilih yang berbau wangi,
kerana ada setengah-setengah bedak atau deodorant misalnya berbau wangi.
Semoga wanita hari ini akan menjadi sebaik muslimah disisi Nabi SAW,
yang apabila mendengar sesuatu hukum itu haram mereka terus menjauhi
perbuatan tersebut dan apabila mendengar sesuatu hukum itu wajib atau
sunat mereka terus melaksanakannya dengan penuh iltizam.
Wallahu ‘alam bissawab . Wassalam.
Tidak ada komentar:
Posting Komentar